Pulau Pinang kenang jasa Pak Lah, Lebuh raya Cassia kini Jalan Tun Abdullah Badawi

Pulau Pinang kenang jasa Pak Lah, Lebuh raya Cassia kini Jalan Tun Abdullah Badawi

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan penukaran nama Lebuh raya Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penghormatan kepada bekas Perdana Menteri kelima yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri itu.

Lebuh raya Cassia dinamakan oleh Pak Lah

Perkara tersebut dinyatakan sendiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam kenyataan rasmi apabila memaklumkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) itu bukan sahaja simbolik, malah signifikan dalam mengekalkan legasi Allahyarham Tun Abdullah yang pernah menamakan kawasan itu sebagai Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004.

“Memegang gelaran sebagai bandar masa depan Pulau Pinang, Allahyarham Tun Abdullah telah menamakan Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004 dan memperoleh kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Pelan Induk Bandar Cassia pada 26 Okt 2004.
“Penggunaan nama Bandar Cassia sebagai Bandar Baharu di Batu Kawan kemudiannya telah diluluskan oleh MMK pada 10 Ogos 2016.
“Justeru, kerajaan negeri ingin terus mengekalkan legasi Allahyarham Tun Abdullah dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Lebuhraya Cassia

Lebuh raya Cassia akan ditukar nama, bendera negeri kibar separuh tiang

Sebagai tanda penghormatan, kerajaan negeri juga akan mengibarkan bendera negeri separuh tiang pada Jumaat ini di semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Chow turut menyeru pemilik premis bukan kerajaan untuk turut serta dalam penghormatan ini.

“Pemergian Tun Abdullah merupakan suatu kehilangan besar kepada negara terutamanya Pulau Pinang.
“Semoga semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang,” ujar beliau lagi.

Artikel lain: MRSM Kepala Batas dinamakan MRSM Tun Abdullah Badawi -Asyraf Wajdi

Tambah Chow, antara ‘hadiah terbesar’ Allahyarham kepada negeri itu adalah Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (jambatan kedua Pulau Pinang), yang diumumkan dalam RMK9 pada tahun 2003.

Jambatan itu telah merangsang pertumbuhan ekonomi di Batu Maung dan Bandar Cassia, menjadikan kawasan tersebut zon perindustrian yang pesat.

Difahamkan, ketika pentadbiran Tun Abdullah, Pulau Pinang menerima pelbagai projek mega seperti pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (RM1 bilion), pembangunan Penang Sentral (RM2.7 bilion), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan pelancaran Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Sumber: Facebook Chow Kon Yeow

Scroll to Top