Pulanglah Muhammad Syahir

Pulanglah Muhammad Syahir

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang pelajar Tingkatan Tiga dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Bellina, Kampung Sungai Kandis, di sini, pagi semalam.

Mohammad Sahrulnizam Mohammad Zain, 45, berkata, anak lelakinya, Muhammad Syahir, 15, dipercayai keluar rumah untuk ke sekolah dengan menaiki bas pada jam 6.23 pagi.

“Bagaimanapun, saya menghubungi pemandu bas dan dia memaklumkan anak saya tidak ada dalam kenderaannya.

“Pada jam 4.30 petang hari sama, saya menerima rakaman suara menerusi aplikasi WhatsApp daripada anak yang meluahkan perasaan tidak puas hati dan mahu keluar rumah dengan diajak untuk tinggal bersama individu tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Sahrulnizam yang juga wartawan sebuah portal memaklumkan, Muhammad Syahir juga memberitahu bahawa ada rakan ‘baru’ yang memahami keadaan dirinya.

“Rakan itu adalah rakan maya yang dikenalinya menerusi aplikasi permainan dalam talian PUBG dan Mobile Legend. Cuma saya tidak tahu siapa individu itu dan di mana dia duduk.

“Sebagai bapa, tanggungjawab saya tidak pernah culas dan ditunaikan dengan sebaik-baiknya kepada Muhammad Syahir,” katanya.

Ujarnya, beliau sekeluarga bimbang dengan keselamatan anak bongsu dari dua beradik itu yang mengikuti individu tidak dikenali.

Menurut Mohammad Sahrulnizam, laporan polis dibuat di Balai Polis Alam Impian pada jam 7.32 malam.

“Saya berharap sesiapa yang melihat Muhammad Syahir segera menghubungi saya di talian 019-329 2616 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top