Puasa 20 jam pengalaman paling mahal

Puasa 20 jam pengalaman paling mahal

hafizithnin@mediaprima.com.my

PADA 1 April 2024, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dilantik menjadi Mufti Negeri Pahang.

Kehebatannya di dalam bidang agama sememangnya tidak boleh disangkal termasuk berpengalaman luas dalam syariah dan kewangan Islam.

Beliau juga sebenarnya seorang profesor di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di sebalik meraih pelbagai pencapaian di dalam bidang akademik dan industri, Dr Asmadi sebenarnya mempunyai kisah tersendiri ketika berpuasa pada zaman kanak-kanaknya.

Ikuti temu bual bersama tokoh ini yang sudi menceritakan kisah menarik pengalamannya pada Ramadan.

• Pengalaman Dr yang tidak dapat dilupakan ketika berpuasa?

Yang saya tidak boleh lupakan ialah pengalaman saya berpuasa ketika melalui perjalanan keluar negara yang lambat waktunya daripada negara kita contohnya enam jam, akan menyebabkan kita berpuasa lebih panjang iaitu sekitar 20 jam.

Jika kita ke negara Timur Tengah menggunakan penerbangan yang bertolak jam 10 pagi, mereka di Timur Tengah baru jam 4 pagi. Perjalanan ke sana mengambil masa sembilan jam iaitu tiba jam 7 malam waktu Malaysia. Namun di sana baru jam 2 petang. Ini menyebabkan kita terpaksa menunggu sehingga lima jam lagi untuk berbuka puasa.

Meskipun tempohnya lebih panjang dan saya bermusafir, saya mahu teruskan berpuasa. Bagi saya ini adalah ujian ketika Ramadan yang boleh ditempuh untuk menjadikan saya lebih sabar dan tenang.

• Jika Dr imbas kembali, bagaimanakah pengalaman puasa Dr ketika kanak-kanak dulu?

Saya sudah dilatih ibu bapa saya untuk berpuasa sejak dari kecil lagi supaya membiasakan diri berpuasa pada Ramadan khasnya. Ketika kecil pastinya mempunyai kisah-kisah lucu dan menyeronokkan yang tidak boleh dilupakan sehingga ke hari ini.

Antaranya ketika Ramadan, apabila terlepas waktu sahur pastinya merasa seksa untuk meneruskan berpuasa dan alasan itu saya gunakan dengan merengek kepada ibu bapa saya untuk berbuka puasa. Inilah ragam anak-anak yang sekitar umur tujuh ke sepuluh tahun. Namun, ibu dan bapa saya pandai memujuk supaya saya tenang dan bersabar dengan situasi berkenaan.

Akhirnya, dapat meneruskan berpuasa sehingga waktu berbuka walaupun pada awalnya rasa amat lapar dan dahaga kerana tidak bersahur.

Kadang-kala ada juga dalam keadaan saya terlalu letih pada zaman kanak-kanak, ibu bapa saya tidak akan memaksa untuk meneruskan berpuasa kerana mereka juga tahu alam kanak-kanak adalah satu tempoh untuk mempelajari dan menyesuaikan diri dengan ibadah itu. Jika memberikan kesan dari segi kesihatan, pastinya tidak perlu diteruskan untuk kanak-kanak.

• Apakah juadah wajib yang mesti ada di meja berbuka?

Untuk berbuka, kita disunatkan berbuka dengan makanan makanan manis dan antara sunahnya dengan tamar. Saya tidak ada makanan yang khusus atau wajib ada di atas meja asalkan mempunyai manisan seperti tamar sudah memadai.

Menu tambahan lain seperti lauk- pauk yang biasa dihidangkan juga boleh dinikmati ketika berbuka puasa. Namun, bagi saya perkara paling penting ialah makanan yang dihidangkan tidak membazir dan boleh dihabiskan.

Perkara ini kerana ketika kita berpuasa, rasa lapar dan berkeinginan untuk menikmati pelbagai juadah akan wujud. Namun, apabila sudah berbuka dengan satu atau dua jenis makan, akan cepat rasa kenyang. Jadi, saya sering ingatkan diri supaya mengawal nafsu untuk berbuka puasa dengan hidangan makanan yang banyak kerana khuatir, ia boleh menjadi satu pembaziran. Sedangkan pembaziran adalah amalan yang tidak wajar berlaku pada bulan yang mulia ini.

• Adakah Dr mempunyai bazar Ramadan kegemaran?

Apabila sudah berusia ini saya kurang untuk mengunjungi ke Bazar Ramadan kerana lebih selesa menikmati juadah yang sudah disediakan keluarga atau pihak penganjur, jika saya perlu menghadiri acara berbuka puasa.

Tetapi jika saya berada di rumah, memang hanya menikmati juadah yang disediakan keluarga sahaja. Tetapi biasalah ahli keluarga ada yang kunjungi bazar Ramadan untuk membeli juadah tambahan ketika berbuka puasa.

Cuma saya tegas juga dan berpesan, boleh membeli makanan kegemaran di bazar Ramadan tetapi jangan membazir dan tidak dihabiskan ketika berbuka. Ia satu amalan yang tidak baik.

• Memori ketika bersahur zaman kanak-kanak?

Perkara yang paling tidak dapat saya lupakan pastinya apabila hendak bangun sahur dalam keadaan yang masih mengantuk dan liat untuk bangun walaupun sudah dikejutkan berkali-kali oleh ibu dan bapa saya.

Ia adalah perkara yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak khasnya kerana kita masih lagi dalam proses pembelajaran dan menyesuaikan diri dengan situasi berpuasa yang perlu bersahur dan mempunyai rasa sabar untuk menahan lapar dan dahaga.

Alhamdullilah, bapa dan ibu saya tidak pernah jemu melayan kerenah saya ketika kecil untuk bangun pada waktu sahur walaupun perlu berdepan dengan kerenah liat bangun pada awal pagi.

• Apakah amalan yang dicadangkan Dr ketika ramadan?

Selain berpuasa, jagalah solat tarawih pada malamnya kerana solat sunat ini hanya ada pada Ramadan sahaja, tiada pada bulan-bulan yang lain. Kita rasai dan nikmati keindahan solat sunat ini walaupun pada sebelah siang sudah berpuasa, tetapi pada sebelah malam, kita meraikan Ramadan dengan solat sunat. Jika masih ada masa, sambunglah dengan bertadarus al-Quran bersama jemaah masjid. Pada setiap waktu solat, sekiranya boleh banyakkan membaca al-Quran dan khatamnya pada bulan ini. Perkara ini kerana Ramadan adalah sinonim dengan sejarah turunnya kitab suci itu.

Selain itu, ringankan tangan untuk membantu orang lain dan memberi sedekah kerana pada bulan ini, setiap amalan yang dilakukan akan diberikan pahala yang tinggi Allah kepada kita.

Nikmati Bulan Ramadan dengan melakukan amalan-amalan yang mulia dan sentiasa menjaga perilaku dengan bersabar ketika berdepan dengan ujian ketika berpuasa.

• Makanan yang cuba dielakkan sepanjang Ramadan?

Perkara ini bergantung kepada pesanan pakar perubatan. Sunahnya kita berbuka puasa dengan makanan manis. Mungkin sebaiknya kita elakkan minum mimuman bergas. Yang penting, elakkan makan terlalu kenyang sebagaimana yang diajar Nabi SAW iaitu hendaklah seseorang itu membahagikan sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya. Apabila terlalu kenyang juga, akan menyebabkan kita malas bersolat Tarawih selepas Isyak nanti.

• Bagaimana Ramadan kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya?

Saya rasa sama sahaja puasa saya tahun ini dengan tahun lepas. Saya memang kena bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama rakyat. Alhamdulillah, ini peluang bertemu rakyat dengan mengiringi keberangkatan Tuanku Sultan. Dan ia tentulah banyak berbeza berbanding saya menjadi orang akademik di universiti sebelumnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top