PTPTN tuntut hutang RM6 bilion daripada 430,000 peminjam

PTPTN tuntut hutang RM6 bilion daripada 430,000 peminjam

am@hmetro.com.my

Lumut: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu mengambil tindakan terhadap 430,000 peminjam yang tidak pernah membayar semula hutang pinjaman membabitkan nilai sebanyak RM6 bilion.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebahagian daripada jumlah bekas pelajar itu antaranya didapati sudah bergraduasi berpuluh tahun, namun gagal membuat pembayaran walau satu sen dan jumlah mereka semakin bertambah saban tahun.

Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab golongan terbabit mengakibatkan kedudukan kewangan PTPTN berada di tahap membimbangkan.

“Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula), sepatutnya perlu bincang. Mereka tak peduli langsung untuk bayar.

“Kita sudah pun membuat perbincangan secara mendalam di peringkat kabinet untuk langkah seterusnya.

“Saya tidak menafikan langkah susulan yang akan diambil terhadap mereka ini termasuk tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN kepada 215 mahasiswa parlimen Lumut dan Beruas di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, perincian tentang tempoh kes dan bentuk tindakan yang akan diambil peminjam yang culas itu akan diumumkan oleh Norliza dalam masa terdekat.

“Namun, saya ingin tegaskan sekali lagi kita tetap berhemah. Kita faham keadaan (ekonomi), tetapi saya nak supaya mereka ini datanglah (ke PTPTN) ceritakan keadaan mereka.

“Mereka juga perlulah mempunyai tanggungjawab moral kerana wang itu apabila mereka bayar balik, kita akan gunakan untuk membantu generasi yang akan datang pula,” katanya.

Beliau berkata seramai 26,534 pelajar ditawarkan WPP berjumlah RM1,500 bagi kemasukan peringkat Ijazah Sarjana Muda ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) sesi Oktober tahun ini.

Dalam perkembangan berasingan, Zambry menegaskan Kementerian Pendidikan Tinggi akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan penyebaran ajaran berkaitan GISB Holding (GISBH) dalam kalangan pelajar dan pensyarah di IPT.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top