am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima dua graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menunjukkan komitmen serta tanggungjawab sosial perbadanan itu dalam menjaga kebajikan peminjam.
Penerima, Azah Atirah Mohamad Nawi, 24, dari Kampung Kedai Buluh, Kota Bharu, Kelantan berkata, melalui pinjaman PTPTN dia mampu menamatkan pengajian dengan cemerlang berikutan bapanya Mohamad Nawi Mat, 65, bekerja sebagai buruh manakala ibu, Nor Maznah Sulaiman, 60, berniaga kedai runcit secara kecil-kecilan.
Menurutnya, kesusahan hidup dan masalah kewangan menyebabkan sembilan lagi adik beradiknya tidak melanjutkan pengajian dan lapan daripadanya berumahtangga.
Katanya, keperitan hidup mendorongnya belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga.
“Ketika sekolah rendah dahulu saya pulang berjalan kerana ayah tiada kenderaan. Sambil berjalan saya juga mengutip pucuk paku.
“Pucuk paku dijadikan ulam dicicah budu dan minyak yang saya anggap makanan paling istimewa bagi kami sekeluarga,” katanya selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-16 di sini, semalam.
Menurutnya, dia bersyukur kerana mendapat pinjaman PTPTN untuk melanjutkan pengajian di UniSZA dalam jurusan Sarjana Muda Kerja Sosial.
Katanya, Anugerah Khas PTPTN itu ibarat hadiah berganda kerana selain memperoleh keputusan cemerlang dia juga terpilih menerima anugerah berkenaan.
Katanya, PTPTN memberi impak besar kepada pelajar terutama bagi golongan tidak berkemampuan untuk melanjutkan pengajian serta membantu melunaskan yuran pengajian dan sebagainya.
“Saya bekerja di kafe ketika di UniSZA bagi mendapatkan wang saku dan sedikit peruntukan daripada PTPTN saya hulur kepada keluarga sekiranya mereka perlu.
“Alhamdullilah, saya harap PTPTN teruskan Anugerah Khas yang diperkenalkan sejak 2023 lalu,” katanya.
Menurutnya, sumbangan RM1,000 daripada PTPTN turut digunakan untuk menampung kos menghadiri konvokesyen dengan menyewa kenderaan ke Terengganu.
Seorang lagi penerima, Muhammad Shahril Haja Mohaideen, 24, dari Cheras, Kuala Lumpur, turut meluahkan rasa gembira apabila terpilih sebagai penerima anugerah industri PTPTN.
“Saya tak sangka terpilih dan menganggap anugerah ini pengakhiran paling manis selepas enam tahun berada di UniSZA selepas dua tahun menuntut di peringkat diploma dan empat tahun dalam jurusan undang-undang.
“PTPTN banyak membantu pelajar terutama dari keluarga kurang berkemampuan. Pada mulanya saya juga khuatir untuk melanjutkan pelajaran berikutan persepsi masyarakat menyatakan ke universiti memerlukan perbelanjaan besar.
“Alhamdulillah, dengan PTPTN pelajar berpeluang melanjutkan pengajian dan dalam masa sama mengubah nasib keluarga.
“Terima kasih PTPTN kerana bantu saya dari segi kewangan sepanjang di UniSZA hingga meraih kejayaan cemerlang,” katanya.
Katanya, anugerah ini inisiatif terbaik dan satu nilai tambah kepada peminjam.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd