PSM tidak panik keputusan kurang memuaskan di India

PSM tidak panik keputusan kurang memuaskan di India

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak mahu menekan butang panik apabila barisan pemain negara gagal mengulangi pencapaian cemerlang sewaktu Piala Dunia ISTAF edisi lalu.

Presidennya Datuk Sumali Reduan berkata, walaupun skuad sepak takraw negara sekadar membawa pulang tiga pingat gangsa secara keseluruhan di Bihar, India, namun barisan pemain mendapat pengalaman berharga dalam usaha meningkatkan kualiti permainan pada masa akan datang.

Beliau berkata, keputusan di Bihar sebagai kayu pengukur buat kem negara, malah menyifatkan fokus utama dalam pelan asal aladah Piala Asia Kuala Lumpur, Piala Raja Thai dan Sukan Sea Thailand.

“Saya memanggil semua barisan kejurulatihan untuk mengadakan bedah siasat mengenai apa yang perlu dibaiki segala kelemahan untuk menambah kekuatan.

“Kami mempunyai tempoh masa sebulan lagi untuk menghadapi Piala Asia di sini (Kuala Lumpur) yang sebenar-benarnya menjadi sasaran utama kami.

“Tiga kejohanan besar itu dalam fokus terpenting kami. Oleh itu, persiapan rapi perlu dilakukan bagi meraih keputusan positif,” katanya.

Sementara itu, Sumali turut menyatakan teruja dengan kejayaan skuad wanita menggondol dua gangsa.

Katanya, beliau berharap momentum itu dapat diteruskan menjelang kejohanan besar tahun ini.

“Apa yang lebih menarik ialah kuadran campuran hampir menewaskan Thailand. Nampak seperti ada sinar untuk memperkuat lagi pasukan wanita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top