PSG enggan pandang rendah Dunkerque

PSG enggan pandang rendah Dunkerque

Kuala Lumpur: Paris Saint Germain (PSG) enggan mengambil mudah cabaran kelab divisyen kedua, Dunkerque, apabila mereka berdepan dalam aksi separuh akhir Piala Perancis, Rabu ini, menurut pengendali pasukan, Luis Enrique.

Dengan rekod tanpa kalah dalam Ligue 1 musim ini, PSG semakin hampir mempertahankan kejuaraan liga dan turut berada di landasan terbaik memburu gelaran Liga Juara-Juara pertama mereka, dengan aksi suku akhir menentang Aston Villa menanti bulan depan.

“Kami akan mendekati perlawanan ini seperti biasa. Sejak musim lalu, kami berfikir dalam konteks lebih luas dan bukan hanya tertumpu pada satu perlawanan. Kami suka jadual padat kerana itu bermakna kami masih bersaing dalam semua kejohanan,” kata Luis Enrique.

“Kami tidak pernah mengubah mentaliti, kami bermain dengan cara yang sama dan cuba memperbaiki prestasi. Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan menghormati lawan.

“Kami mahu mencipta sejarah di Perancis dan perlu menganggap setiap perlawanan sebagai satu cabaran. Itu objektif kami menentang Dunkerque,” tambahnya.

Setakat ini, PSG sudah meledak 119 gol dalam 44 perlawanan di semua kejohanan musim ini, dengan barisan serangan mereka semakin berbisa.

Luis Enrique turut memuji persembahan Bradley Barcola yang semakin matang dan memahami peranan sebagai pemain pasukan.

“Dia memulakan musim dengan baik dan sejak itu menjadi antara pemain yang paling faham bahawa jika ada rakan sepasukan di posisi lebih baik, dia akan membuat hantaran yang menentukan.

“Satu hantaran tepat yang membolehkan rakan sepasukan berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol adalah lebih baik. Kami sentiasa mencari pemain yang berada dalam posisi terbaik di hadapan gol,” jelasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top