KUANTAN: “Itu memang kerja dialah (pembangkang),” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail apabila diminta mengulas tentang dakwaan pembangkang yang mengatakan kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan hujung tahun ini.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai persepsi yang sengaja dicipta bagi mengelirukan rakyat dan kerajaan tidak akan terpengaruh dengan spekulasi terbabit sebaliknya akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
“Dia (pembangkang) suka buat persepsi supaya orang kelam kabut dan pemikiran pun tak boleh fokus kepada kerja… mana yang termakan persepsilah. Tapi pada kami (kerajaan), kami terus buat kerjalah.. terus fokus buat kerja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvensyen Sekretariat Muafakat Felda Pahang 2025 di Auditorium RTM Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, pembangkang sudah tidak mempunyai modal dan gemar memainkan sesuatu isu tanpa asas yang kukuh.
“Dia tak ada modal, dia rasa dia teringat dia nak cakap, dia cakaplah.. pilihan raya esok lusalah. Lepas itu esok cakap benda lain pula. Itu kerja dia, dan bukan satu benda yang peliklah,” katanya.
Mengulas tentang perubahan sokongan pengundi Felda pada PRU lalu, beliau mengakui terdapat beberapa kawasan yang gagal dipertahankan.
Menurutnya, persepsi negatif yang ditanam oleh pembangkang memberikan kesan terhadap keputusan pengundi.
Namun, beliau berharap masyarakat peneroka dapat kembali memberi kepercayaan kepada Felda kerana kerajaan negeri dan agensi berkaitan sudah merancang pelbagai inisiatif untuk mereka.
“Kita harap mereka memberi sokongan semula. Mungkin ketika itu mereka tersilap, maklumlah persepsi itu bermacam-macam yang dimainkan oleh pihak tertentu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersiapkan jentera mereka bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut hujung tahun ini. – UTUSAN