Prosiding kenaikan premium insurans kesihatan, caj hospital ambil masa lama – PAC

Prosiding kenaikan premium insurans kesihatan, caj hospital ambil masa lama – PAC

am@hmetro.com.my

Georgetown: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi bayangan proses prosiding berhubung peningkatan premium insurans kesihatan serta caj hospital swasta akan mengambil masa yang panjang.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ia bagi menyediakan laporan komprehensif sekali gus membantu kerajaan merangka dasar terbaik untuk rakyat.

Katanya, proses itu bakal membabitkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta serta rakyat daripada pelbagai latar belakang ekonomi bagi mencari penyelesaian menang-menang berhubung isu itu.

“Kita tidak mahu laporan yang dikeluarkan PAC dipertikaikan, kita hendak buat satu laporan yang boleh membantu kerajaan membuat polisi atau dasar terbaik terutama sekali dalam membantu rakyat Malaysia,” katanya selepas menghadiri Sesi Pendengaran Awam PAC, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli PAC, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin merangkap pengantara majlis pendengaran awam, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.

Terdahulu, sesi pendengaran awam buat kali pertama itu dihadiri kira-kira 100 orang awam bertujuan mengumpul maklum balas dan pandangan membabitkan isu Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Awam dan Impak kepada Kesihatan Awam yang akan dimasukkan dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen.

Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati berkata, isu peningkatan premium insurans dan caj hospital swasta dilihat sangat menghimpit rakyat.

Katanya, segala dapatan serta pandangan diterima amat dihargai dalam membantu prosiding yang akan dimulakan kelak.

“Pembabitan dan kerjasama semua pihak juga perlu kerana ia membabitkan semua rantaian terbabit.

“Saya harap ia tidak berhenti di sini, kita semua nak yang terbaik terutama sekali membabitkan isu kesihatan awam dan banyak perkara yang perlu dilihat,” katanya.

Sementara itu, Sim berkata, isu merentasi semua tingkat pendapatan daripada T20 hingga B40 dengan 50 peratus rakyat Malaysia memiliki perlindungan insurans.

“Sebenarnya lebih 50 peratus populasi rakyat Malaysia memiliki insurans perubatan, termasuk mereka dari kumpulan B40 yang tetap berusaha membeli insurans.

“Sebahagian besar berasa tekanannya kerana mereka mengharapkan insurans itu membantu mereka membayar bil hospital swasta.

“Jadi, penyelesaian yang adil dan mampan perlu dicari bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban,” katanya.

Pada Disember lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) meminta semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sehingga akhir 2026.

Langkah itu bagi mengurangkan bebanan terhadap pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top