Propaganda anti-HAMAS: Naratif Zionis dan pengkhianatan Fatah

Propaganda anti-HAMAS: Naratif Zionis dan pengkhianatan Fatah

– Advertisement –

SEJAK semalam, media sosial dibanjiri dengan naratif yang cuba menggambarkan kononnya rakyat Gaza menolak HAMAS. Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, realitinya jauh lebih kompleks.

Propaganda ini tidak lain hanyalah usaha terancang pihak tertentu untuk mengeksploitasi penderitaan rakyat Gaza dan mengalihkan tumpuan daripada perjuangan menentang penjajahan. 

Mari kita perhalusi beberapa fakta berikut:

1. Seruan Fatah.

Beberapa hari lalu, wakil Fatah di Gaza tiba-tiba menggesa HAMAS agar berundur daripada pemerintahan.

– Advertisement –

2. Demonstrasi yang dimanipulasi.

Pada 26 Mac 2025, di Utara Gaza—khususnya di Beit Lahia—ratusan rakyat yang letih dan tertekan akibat peperangan turun ke jalan menuntut agar konflik berakhir. Dalam perhimpunan itu, sekumpulan kecil penyokong Fatah melaungkan slogan menolak HAMAS dan merakam aksi tersebut. Rakaman ini kemudian dimanipulasi bagi mewujudkan persepsi seolah-olah seluruh rakyat Gaza menolak HAMAS.

3. Hasutan melalui telefon.

Pada waktu yang sama, rejim Zionis menghantar mesej kepada ribuan rakyat Palestin melalui telefon, menghasut mereka agar menolak HAMAS. Ini jelas satu taktik untuk mencipta kekeliruan dan memecahbelahkan semangat perlawanan rakyat.

4. Media sebagai alat propaganda.

Media Israel serta akhbar-akhbar besar di Amerika Syarikat segera membesarkan isu protes kecil ini bagi membina naratif bahawa HAMAS kehilangan sokongan rakyat. Ironinya, mereka sengaja mengabaikan hakikat bahawa konflik ini berterusan kerana kepentingan politik dan ekonomi rejim Zionis yang tidak mahu peperangan berakhir.

Perang psikologi dan peranan media

Umat Islam perlu sentiasa waspada terhadap perang psikologi—satu bentuk propaganda atau perang saraf. Bela Szunyogh mendefinisikan perang ini sebagai:

“Suatu tindakan yang dilancarkan menggunakan cara-cara psikologi dengan tujuan membangkitkan reaksi psikologis yang telah terancang terhadap orang lain.”

Teknik ini bertujuan menguasai emosi, persepsi dan tindak balas masyarakat.

Malangnya, beberapa media ternama di Malaysia turut menyalin dan menyebarkan berita propaganda ini tanpa penelitian mendalam, secara tidak langsung membantu menyebarkan naratif berat sebelah.

Realiti di Gaza: Lebih kompleks daripada propaganda

Realiti di Gaza tidak boleh disempitkan dalam satu naratif mudah. Walaupun ada usaha untuk memecahbelahkan mereka, insya-Allah, semangat dan keberanian rakyat Gaza tetap utuh!

Sebagai umat Islam, kita wajib terus berdoa dan menyokong perjuangan pembebasan Palestin, selaras dengan prinsip keadilan yang diajarkan dalam Islam:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan…” (Surah An-Nahl ayat 90)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa keadilan dan kebaikan harus ditegakkan, walaupun berdepan dengan manipulasi dan penipuan.

Semoga kezaliman segera berakhir, dan kebenaran serta keadilan terus menang!

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN 
26 Ramadan 1446H | 27 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 27/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top