Projek kerja air di Pulau Pinang dijangka siap 4 petang

Projek kerja air di Pulau Pinang dijangka siap 4 petang

am@hmetro.com.my

Butterworth: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangkakan kesemua 23 projek kerja air yang sedang dilaksanakan di bawah gangguan bekalan air berjadual (SWSI) bermula jam 10 malam tadi akan siap sepenuhnya pada jam 4 petang ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan, berkata setakat jam 10.30 pagi, kemajuan kerja sudah mencapai 85 peratus apabila 19 daripada 23 projek sudah siap.

“Tinggal empat sahaja baki projek yang dijadualkan siap pada jam 4 petang nanti.

“Empat projek itu adalah projek utama membabitkan penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) berdiameter 1.35m di Ampang Jajar, Seberang Perai Tengah yang status kerja ini mencapai 46 peratus.

“Kedua penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) berdiameter 1.35m di Kampung Teluk, Seberang Perai Utara yang sudah mencapai 30 peratus.

“Selain itu, kerja penggantian injap 1.2m pada saluran paip 1.2m di Jalan Pengkalan Tambang berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) serta pelencongan bahagian saluran paip air berdiameter 0.9 m di Kompleks Majlis Sukan Negeri Batu Uban, yang masing-masing kemajuan kerja mencapai 90 hingga 95 peratus,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pathmanathan berkata, sebaik semua kerja itu siap pihaknya akan meneruskan usaha memulihkan semula perkhidmatan bekalan air mengikut jadual ditetapkan.

“Bermula jam 10 malam ini, 40 peratus pemulihan bekalan air akan pulih membabitkan 136,683 pengguna di tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut.

“Kita menjangkakan pemulihan bekalan air sepenuhnya untuk semua pengguna terjejas termasuk pengguna yang berada di hujung paip agihan (EoL) dan kawasan kejiranan tanah tinggi di Seberang Perai Selatan dan daerah Barat Daya pada jam 10 pagi, Isnin ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 341,708 pengguna air di Pulau Pinang bakal terjejas susulan pelaksanaan SWSI berkenaan yang bermula jam 10 malam tadi.

Ia susulan henti tugas separa di LRA Sungai Dua bagi pelaksanaan 23 projek kerja air berjadual di seluruh negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top