Projek ECRL capai 78.5 peratus setakat Januari

Projek ECRL capai 78.5 peratus setakat Januari

KUANTAN: Status kemajuan projek berimpak tinggi, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai tahap 78.5 peratus setakat Januari lalu.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemajuan pembinaan projek terbabit meliputi empat buah negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

“Kemajuan meyakinkan itu selari jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang akan disiapkan pada Disember 2026 dan beroperasi Januari 2027.

“Jajaran fasa kedua antara Gombak dan Pelabuhan Klang di Selangor akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran laporan impak terkini Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) bagi projek ECRL bertempat di Tapak Projek ECRL Seksyen 10 di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata, laporan Impak terkini Sukuk SDG MRL bagi projek ECRL membuktikan komitmen MRL dalam memastikan pembangunan infrastruktur berimpak tinggi yang mampan demi kelestarian masa hadapan.

“Projek ECRL bernilai RM50.27 bilion dengan rangkaian sepanjang 665 kilometer merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang, meningkatkan mobiliti rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat khususnya di Pantai Timur.

“Projek ini memperkasakan keupayaan bakat tempatan berkemahiran dalam industri rel.

“Dengan memanfaatkan laporan impak Sukuk SDG ini, projek ECRL bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan tetapi juga sejajar matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu memajukan objektif alam sekitar, sosial dan ekonomi negara,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, projek ECRL akan menerima anugerah Malaysia Book of Records (MBR) berhubung Most Wildlife Box Culverts Crossing in a Single Railway Project.

“Sebanyak 28 kotak pembetung lintasan hidupan liar telah dibina untuk memudahkan hidupan liar melintas jajaran rel ECRL dengan selamat. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen MRL dalam memajukan usaha SDG melalui inisiatif yang inovatif dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top