Program Pembiayaan Vendor PETRONAS beri impak positif

Program Pembiayaan Vendor PETRONAS beri impak positif

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 peserta menghadiri Hari Perbualan Program Pembiayaan Vendor (VFP) PETRONAS yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Program itu diadakan dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC) dan Persatuan Pemilik OSV Malaysia (MOSVA).

Ketua Program Strategik dan Perlesenan Perolehan Kumpulan PETRONAS, Natrah Mohd Tahir, berkata program itu bertujuan menghubungkan vendor dalam ekosistem Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) dengan institusi kewangan VFP sebagai rakan kongsi untuk mewujudkan penyelesaian kewangan berdaya maju.

“VFP adalah inisiatif yang diwujudkan bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dalam kalangan vendor OGSE tempatan yang berdaftar daripada sembilan rakan strategik program.

“Rakan strategik itu termasuk Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, CIMB, Export-Import Bank Malaysia Berhad (EXIM), HSBC Bank Malaysia Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank), RHB Bank, dan UOB Malaysia,” katanya.

Program Pembiayaan Vendor PETRONAS beri impak positif

Natrah berkata, VFP dicadangkan untuk membantu vendor industri OGSE yang terjejas teruk akibat krisis harga minyak pada tahun 2018.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kesukaran mengekalkan semula modal dan menambah baik aliran tunai demi mengekalkan perniagaan masing-masing dan kini ditambah pula dengan kesan pandemik yang berpanjangan.

“Jadi sudah tiba masanya kami terus mempergiatkan usaha untuk menyokong vendor kami yang semuanya memainkan peranan penting dalam ekosistem minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata, vendor akan mempunyai akses kepada kemudahan pembiayaan yang memenuhi keperluan khusus mereka untuk melaksanakan kewajipan kontrak mereka.

“VFP disokong oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang menyediakan skim jaminan sebagai alternatif kepada keperluan cagaran oleh bank,” katanya.

Justeru Natrah berkata, kerjasama antara PETRONAS, MOGSC dan MOSVA adalah penting untuk memastikan VFP akan memanfaatkan vendor OGSE.

“Kemandirian ekosistem OGSE bukan sahaja apabila vendor dapat bertahan pada masa yang sukar, tetapi juga untuk terus dapat berkembang seiring dengan industri dalam mencapai potensi penuh mereka,” katanya.

“Setakat ini VFP berjaya memberi impak positif kepada industri dengan lebih 260 permohonan dan pembiayaan bernilai RM1.6 bilion diluluskan sehingga 31 Julai lalu,” katanya.

Sementara itu, Presiden MOGSC, Syed Saggaf Syed Ahmad, berkata pihaknya gembira dengan kerjasama antara MOGSC dan PETRONAS yang bertujuan untuk memastikan kemandirian vendor OGSE.

“Program seperti VFP adalah untuk membantu dan kedua-dua PETRONAS dan MOGSC berkerjasama untuk menyediakan platform di mana vendor dan institusi kewangan boleh berbincang serta memberikan bantuan pembiayaan,” katanya.

Setiausaha kehormat MOSVA Datuk Roslan Ahmad pula berkata, program itu bukti kerjasama antara perbadanan dan persatuan industri adalah penting dalam memastikan ekosistem yang sihat.

Begitu juga Ketua Pegawai Eksekutif MACIP, Ir Mahmood Azmy, yang berterima kasih kepada PETRONAS, MOGSC dan Bank Islam kerana membantu syarikat itu.

“Dengan Program VFP, kami dapat mengembangkan perniagaan dengan menyediakan contoh projek yang dimasukkan atau pembelian aset dan sebarang pertumbuhan dalam syarikat. Kami mengharapkan sebarang kerjasama antara institusi kewangan dan syarikat pada masa hadapan, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top