syafil.syazwan@hmetro.com.my
Ampang: Kementerian Komunikasi akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat produksi yang gagal membuat pembayaran kepada pelakon dan kru produksi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sehingga kini dua filem sudah disekat tayangannya kerana culas membayar gaji.
Fahmi ketika ditemui di Sambutan Hari Seniman 2025 di sini berkata, walaupun Dana Kandungan Kreatif (DKK) sudah disalurkan, namun, ia tidak digunakan secara telus.
“Sejak kebelakangan ini, sekurang-kurangnya dua filem didapati gagal membayar kru produksi mereka, meskipun pihak penerbit menerima dana kandungan kreatif DKK.
“Saya tidak akan menyebut nama filem-filem itu, tetapi mereka (penerbit) pasti tahu siapa mereka.
“Walaupun dana sudah disalurkan, pekerja yang terbabit dalam produksi masih belum menerima bayaran gaji mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya, pihak penerbit sudah dimaklumkan agar melunaskan bayaran gaji tertunggak sebelum filem mereka dibenarkan untuk penayangan.
“Oleh itu, tayangan filem-filem ini disekat dan pihak penerbit sudah dimaklumkan bahawa mereka perlu melunaskan semua tunggakan bayaran sebelum dibenarkan untuk memohon semula, terutamanya dalam skim Wajib Tayang,” kata Fahmi yang hadir merasmikan Hari Seniman 2025 dengan tema Seni Merentasi Budaya dan Generasi. yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.
Ujar Fahmi lagi isu berkaitan gaji pekerja ini akan diperketatkan dalam permohonan dana atau Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).
© New Straits Times Press (M) Bhd