PRN Melaka : Berpakat lebih baik – Utusan Digital

PRN Melaka : Berpakat lebih baik – Utusan Digital

KANGAR : UMNO perlu berpakat dan bermusyawarah dengan parti-parti Melayu lain jika ingin berjaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, jika parti-parti Melayu berpecah, adalah sukar untuk mereka memiliki kuasa di negara ini.

Katanya, agama Islam menuntut umatnya untuk sentiasa berpakat, bekerjasama dan bermusyawarah.

“Bagi saya, mestilah saya pilih untuk berpakat kerana dalam agama juga dituntut untuk kita bekerjasama. Kita nak berpakat dengan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti lain supaya dapat membantu kawasan luar bandar.

“Semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah bajet untuk luar bandar tak minta pun dan bantuan juga tidak ada. Jadi sebagai pemimpin luar bandar dan kita juga ada 122 parlimen luar bandar, kita perlu berpakat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Komuniti(@FINAS (KOFI) dan Penyerahan Surat Tawaran Dana Mikro Prisma di Hotel Putra Regency di sini hari ini.

Sementara itu, Zahidi Zainul berkata, bagaimanapun majoriti kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi UMNO memilih untuk bergerak solo ketika ini.

“Sama ada mampu atau tidak mampu (menang PRN Melaka), ini adalah keputusan yang telah dibuat oleh Ahli Majlis tertinggi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini.

“Tak tahulah kalau dalam masa terdekat ini ada pemilihan parti dan sebagainya. Jika ada pemilihan parti, mungkin kepimpinan baharu akan mahu bekerjasama. Jadi kita tunggu sahajalah,” ujarnya.

Mengulas sama ada sesuai diadakan PRN Melaka, beliau berkata, kerajaan negeri itu perlu berbincang dan menunggu sehingga kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.

“Melaka ini masalahnya berebut kuasa. Kalau kita laksanakan PRN, kita takut kes jangkitan Covid-19 akan menular dan sebagainya.

“Sebaliknya jika tidak dilaksanakan pula, konflik di negeri itu tidak dapat diselesaikan. Oleh itu, kita tunggu sehingga kadar vaksinasi capai 90 peratus dan kemudian kita kembalikan kuasa memilih kepada rakyat,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

 

Scroll to Top