am@hmetro.com.my
Taiping: Umno Tapah sudah mempunyai enam cadangan nama sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti.
Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, enam nama berkenaan adalah dalam kalangan lapan ahli jawatankuasa Umno empat peringkat Bahagian Tapah, dengan dua daripadanya menarik diri.
Kata Saarani, lapan cadangan awal nama-nama itu membabitkan Pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian, Ketua Penerangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, dan Ketua Puteri Umno Bahagian Tapah.
Menurutnya, cadangan enam nama berkenaan adalah mengikut kepada fasal 15.13.1 perlembagaan Umno yang menyebutkan jawatankuasa Umno Bahagian dikehendaki menyediakan cadangan nama namun keputusan muktamad adalah di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta presiden parti.
“Mesyuarat jawatankuasa bahagian sudah diadakan di mana mereka memutuskan agar mandat (cadangan nama calon) diserah kepada saya sebagai Pengerusi Perhubungan.
“Semalam saya dapat mandat itu semasa kita mengadakan mesyuarat jawatankuasa empat peringkat, yang mana mandat yang saya dapat daripada mereka semua adalah kita hantar lapan nama.
“Lapan nama yang kita akan hantar ini hendaklah dipersetujui, untuk dipilih oleh Presiden parti tetapi jika daripada lapan itu ada mereka yang berhasrat untuk menarik diri mereka boleh beritahu, WhatsApp kepada saya.
“Jadi setakat ini sudah dua orang sudah WhatsApp pada saya untuk menarik diri, menjadikan sekarang tinggal enam cadangan nama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang Green Excel Manufacturing Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Kamunting 3, di sini, hari ini.
PRK DUN Ayer Kuning susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin baru-baru ini.
Kata Saarani lagi, perjumpaan dengan jawatankuasa empat peringkat Umno Bahagian Tapah diadakan petang semalam, disusuli perjumpaan bersama jawatankuasa perhubungan Barisan Nasional (BN) negeri serta BN Tapah yang berlangsung malam tadi.
Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, ia akan disusuli dengan perjumpaan bersama parti Friends Of BN pada petang Isnin ini dan disusuli perjumpaan bersama jawatankuasa Pakatan Harapan (PH) negeri dan PH Tapah pada petang Selasa ini.
“Sepanjang bulan Ramadan ini pun BN dan Umno Tapah akan sentiasa mengadakan persiapan, sama ada mesyuarat mahupun majlis-majlis perjumpaan yang mereka adakan,” katanya.
Semalam, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid secara rasmi menyerahkan notis kekosongan luar jangka DUN Ayer Kuning kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian Ishsam.
Susulan penyerahan notis itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK DUN Ayer Kuning pada 7 Mac ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd