am@hmetro.com.my
Port Dickson: Peratusan keluar mengundi rendah antara faktor kekalahan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, semalam.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan sesuatu supaya peratusan keluar mengundi itu lebih tinggi sekali gus mencerminkan kehendak sebenar pengundi dalam satu kawasan.
“Kita tahu setiap kali PRK, peratus keluar mengundi sangat rendah dan SPR sepatutnya buat sesuatu supaya ia dapat mencerminkan realiti sebenar tahap sokongan.
“Semalam pun peratusan itu 58.9 peratus, maknanya peratusan rendah, malah pernah kurang daripada 50 peratus dalam PRK sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas, di Lukut, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Katanya, Pas juga sedar DUN Ayer Kuning adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, namun pihaknya tetap berpuas hati kerana masih mampu mengekalkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya sebelum ini.
Malah katanya, sokongan bukan Melayu kepada parti itu juga dilihat semakin bertambah di mana-mana beliau pergi.
Dalam pada itu beliau menyangkal isu kandang babi dilihat antara faktor kekalahan mereka kerana ia isu sebenar yang dibangkitkan oleh penduduk.
Takiyudin turut menegaskan ia bukan isu agama atau kaum tetapi alam sekitar dan kesihatan yang membabitkan semua kaum atau penduduk setempat.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, dari Barisan Nasional (BN) diumum menang dengan majoriti lebih besar apabila memperoleh 5,006 undi majoriti atau 11,065 undi keseluruhan.
Setiausaha Umno Bahagian Tapah itu menewaskan dua pencabarnya iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, daripada PN dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
© New Straits Times Press (M) Bhd