lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon, 12 April depan.
Mengesahkan perkara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman calon itu akan diadakan bersempena Majlis Pelancaran Jentera BN PRK Ayer Kuning.
Ahmad Zahid berkata, selepas perbincangan beliau bersama Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, enam nama sudah disenarai pendek untuk dipilih sebagai calon.
“Perbincangan sudah saya adakan dengan Menteri Besar Perak selaku Pengerusi BN Perak dan enam nama sudah disenarai pendekkan.
“Kita akan mengumumkan (calon) sempena dengan pelancaran jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, insya-Allah kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Terdahulu, Zahid yang juga Presiden Umno dilaporkan berkata, BN tidak akan mengemukakan calon di luar daripada senarai calon yang disenarai pendek oleh BN Perak.
Beliau dipetik berkata, calon yang akan dipertimbangkan itu terdiri daripada kepimpinan UMNO Bahagian Tapah.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu mengumumkan tarikh bagi Penamaan Calon PRK DUN Ayer Kuning akan dilaksanakan pada 12 April depan, diikuti Undi Awal pada 22 April manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.
© New Straits Times Press (M) Bhd