IPOH – Prestasi bayaran balik pinjaman Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) disifatkan sebagai memuaskan.
Pengerusi SPNB, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata, dengan kadar pembayaran semula sebanyak RM300 sebulan selama 16 tahun tidak menimbulkan isu besar dalam kalangan peminjam.
Menurutnya, walaupun ada peminjam menghadapi kekangan kewangan, secara keseluruhannya program tersebut berjalan lancar dengan kadar bayaran balik yang stabil.
“Pada umumnya, bayaran balik pinjaman tidak menjadi masalah besar. Namun, kita memahami bahawa kemampuan kewangan setiap individu berbeza, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan atau kehilangan sumber pendapatan.
“Kita sentiasa menilai kes-kes tertentu untuk memastikan sama ada mereka benar-benar tidak mampu atau sebaliknya. Ini kerana bayaran balik pinjaman ini penting bagi memastikan dana dapat digunakan semula untuk membantu lebih ramai rakyat mendapatkan rumah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena Program Sentuhan Kasih Madani melibatkan penyerahan surat tawaran RMR dan sumbangan Amal Ramadan di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching.
Menurut Mohd Azmi, setiap pembayaran balik akan digunakan semula ke dalam program yang sama bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan bahawa sebanyak 849 unit rumah RMR diperuntukkan untuk dibina di Perak pada tahun ini.
Katanya, jumlah tersebut menjadikan Perak antara negeri dengan jumlah penerima tertinggi daripada keseluruhan rumah sebanyak 5,450 yang disasarkan untuk dibina di seluruh negara.
Menurutnya, penyerahan rumah dibuat secara berperingkat mengikut peruntukan yang diterima daripada kerajaan dan kesediaan kontraktor.
Selain itu, SPNB juga memberi perhatian kepada aspek jaminan dan kualiti rumah bagi memastikan penerima mendapat kediaman yang selamat dan selesa.
“SPNB bukanlah syarikat yang berorientasikan keuntungan semata-mata. Sebaliknya, kami berperanan lebih kepada CSR (tanggungjawab sosial korporat) untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.
“Kerajaan terus komited dalam menyediakan kediaman untuk golongan berpendapatan rendah melalui skim ini, dan berharap lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah sendiri dengan adanya skim perumahan seperti RMR,” katanya.
Sejak diperkenalkan, program RMR berjaya membantu 69,848 keluarga di seluruh negara untuk memiliki kediaman sendiri manakala di Perak sejumlah 7,355 unit RMR berjaya dibina.