Prestasi 27 KSU dibentang kepada KSN Mei ini

Prestasi 27 KSU dibentang kepada KSN Mei ini

am@hmetro.com.my

Sepang: Laporan prestasi 27 Ketua Setiausaha (KSU) bagi suku pertama tahun ini akan dibentangkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar awal bulan depan.

Shamsul Azri berkata, pembentangan laporan prestasi itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menginstitusikan sistem pemantauan perkhidmatan awam supaya lebih dinamik serta berasaskan data.

Katanya, laporan itu menandakan satu pencapaian penting dalam pelaksanaan penuh Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP), iaitu satu mekanisme kawalan strategik yang direka bagi meningkatkan tahap akauntabiliti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam.

“DEEP melangkaui penilaian tahunan tradisional yang mana ia menyediakan sistem yang lebih adil dan fleksibel melalui pemantauan prestasi berterusan secara bulanan, suku tahunan, dan separuh tahunan.

“DEEP turut memperkenalkan elemen remerit yang bukan sahaja mengenakan penalti terhadap prestasi lemah, malah memberi ganjaran kepada penambahbaikan positif dan pematuhan konsisten terhadap penanda aras tadbir urus,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat Bersama Ketua Setiausaha Negara Berhubung Agenda Nasional Tadbir Urus Baik di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Shamsul Azri berkata, mekanisme DEEP menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang disusun berdasarkan dua komponen utama iaitu demerit dan remerit serta dinilai melalui tiga dimensi prestasi iaitu Generik (75 peratus), Fungsi (15 peratus), dan Tinjauan (10 peratus).

“Program perintis membabitkan 13 KSU sudah dilaksanakan pada tahun lalu dengan pelaksanaan penuh di semua kementerian bermula Januari tahun ini, malah sesi libat urus bersama pegawai kementerian turut diadakan bagi menyelaraskan fasa pelaksanaan.

“DEEP terbukti menjadi pemangkin di bawah ARPA. Ia merangkumi pengurusan kewangan, integriti, kepimpinan, dan keberkesanan program serta berperanan sebagai faktor penggerak ke arah perkhidmatan awam yang lebih telus dan berasaskan hasil,” katanya.

Shamsul Azri menegaskan, inisiatif terbabit bukan sekadar slogan sebaliknya ia adalah pembaharuan struktur yang akan menentukan bagaimana perkhidmatan awam beroperasi dan berprestasi untuk tahun mendatang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top