Prestasi 27 KSU akan dibentang kepada KSN Mei ini

Prestasi 27 KSU akan dibentang kepada KSN Mei ini

SEPANG: Laporan prestasi 27 Ketua Setiausaha (KSU) bagi suku pertama tahun ini akan dibentangkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) awal bulan depan.

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pembentangan laporan prestasi itu adalah sebahagian daripada usaha menginstitusikan sistem pemantauan perkhidmatan awam supaya lebih dinamik serta berasaskan data.

Menurutnya, laporan itu menandakan satu pencapaian penting dalam pelaksanaan penuh Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP), iaitu satu mekanisme kawalan strategik yang direka bagi meningkatkan tahap akauntabiliti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam.

“DEEP melangkaui penilaian tahunan tradisional di mana ia menyediakan sistem yang lebih adil dan fleksibel melalui pemantauan prestasi berterusan secara bulanan, suku tahunan, dan separuh tahunan.

“DEEP turut memperkenalkan elemen remerit yang bukan sahaja mengenakan penalti terhadap prestasi lemah, malah memberi ganjaran kepada penambahbaikan positif dan pematuan konsisten terhadap penanda aras tadbir urus,” katanyaketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat Bersama Ketua Setiausaha Negara Berhubung Agenda Nasional Tadbir Urus Baik di sini, hari ini.

Shamsul Azri berkata, mekanisme DEEP menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang disusun berdasarkan dua komponen utama iaitu demerit dan remerit serta dinilai melalui tiga dimensi prestasi iaitu Generik (75 peratus), Fungsi (15 peratus), dan Tinjauan (10 peratus).

“Program perintis membabitkan 13 KSU sudah dilaksanakan pada tahun lalu dengan pelaksanaan penuh di semua kementerian bermula Januari tahun ini, malah sesi libat urus bersama pegawai kementerian turut diadakan bagi menyelaraskan fasa pelaksanaan.

“DEEP terbukti menjadi pemangkin di bawah ARPA. Ia merangkumi pengurusan kewangan, integriti, kepimpinan, dan keberkesanan program serta berperanan sebagai faktor penggerak ke arah perkhidmatan awam yang lebih telus dan berasaskan hasil,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top