Pramugara AirAsia bersara usia 60 selepas 35 tahun berkhidmat

Pramugara AirAsia bersara usia 60 selepas 35 tahun berkhidmat

KUALA LUMPUR – Kebiasaan untuk menjadi pramugara atau pramugari, selain syaratnya perlu tinggi dan tidak rabun, penampilan cantik dan segak juga memainkan peranan penting.

Namun siapa sangka satu video tular di media sosial apabila ramai tidak menyangka usia salah seorang pramugara Air Asia yang sudah berusia 60 tahun.

Menerusi video dimuat naik di laman TikTok airasiacabincrew, kakitangan di syarikat penerbangan tambang murah itu dilihat melakukan kejutan hari jadi kepada seorang pramugara bernama Nordin Razali.

Apa yang menarik tentang Nordin adalah beliau merupakan kru kabin pertama yang masih menjalankan tugas meskipun sudah memasuki usia persaraan.

Bagaimanapun, beliau mengumumkan bakal bersara dan penerbangan selama satu jam 30 minit ke Kuching merupakan tugasan terakhirnya selepas bergelar pramugara selama 35 tahun.

Ketika membuat pengumuman itu dalam penerbangan tersebut, Nordin turut berterima kasih kepada para penumpang kerana mempercayai mereka dalam mengendalikan penerbangan.

“35 tahun yang sangat magikal buat saya. Terima kasih kerana mempercayai kami. Segala kisah anda, senyuman dan juga kebaikan telah menjadikan karier saya cukup seronok dan tidak dapat diungkapkan,” katanya. – MalaysiaGazette