am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi apabila menahan enam lelaki dan merampas 102,300 liter diesel subsidi di stor penyimpanan minyak di Inanam, di sini, semalam.
Serbuan kira-kira 12 tengah hari oleh Unit Gempur Marin (Ungerin) PPM Wilayah Empat Sabah, turut merampas beberapa kenderaan termasuk lori tangki dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM1,239,545.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, serbuan itu dijalankan menerusi Op Taring Landai.
“Mereka gagal menunjukkan dokumen pemilikan/menyimpan barang bersubsidi yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan.
“Enam lelaki disyaki sebagai pekerja premis berkenaan, berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan dan 12 tangki simpanan, enam kenderaan termasuk lori tangki dan minyak diesel dianggarkan 102,300 liter dirampas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada KPDN untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd