Potensi AI bantu tingkatkan produktiviti, buka pintu kreativiti – Tengku Zafrul

Potensi AI bantu tingkatkan produktiviti, buka pintu kreativiti – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi meningkatkan produktiviti negara menggunakan kecerdasan buatan (AI) mengatasi manfaat pendigitalan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, potensi AI adalah untuk memudahkan tugas yang kompleks dalam meningkatkan produktiviti serta membuka pintu kepada kreativiti dan pemikiran strategik.

Di samping itu kata beliau, AI ialah langkah untuk meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan ekonomi dengan menghasilkan produk serta  perkhidmatan yang kompetitif, untuk membolehkan syarikat mengambil bahagian dalam rantaian global dengan nilai lebih tinggi.

“Dalam R&D, inovasi proses adalah sama pentingnya dengan inovasi produk dan kritikal untuk meningkatkan produktiviti. Pesaing kami pantas mengejar, kami tidak mampu untuk menjadi tidak produktif,” katanya menerusi ucapan pada pelancaran Laporan Produktiviti 2024 oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob.

Tengku Zafrul menekankan bahawa teknologi, peraturan dan bakat adalah pemacu kritikal produktiviti yang merupakan intipati Laporan Produktiviti 2024.

Beliau menyatakan bahawa laporan itu mengesyorkan kerajaan di semua peringkat menerima amalan kawal selia yang baik (GRP) dan mempunyai minda perniagaan yang mudah, meminimumkan kejutan dan ketidakpastian dalam pematuhan peraturan.

“Perniagaan mesti menerima pengurusan dan teknologi moden untuk mengurangkan kos tetap dan marginal.

“Pada masa yang sama, mereka mesti menghargai dan memberi ganjaran kepada pekerja yang terus meningkatkan kemahiran atau kemahiran semula, memastikan kecekapan mereka kekal relevan dalam landskap kita yang berkembang pesat,” ujarnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh kerajaan adalah penting untuk menangani pelbagai faktor yang mempengaruhi daya saing.

Ini termasuk pengurusan bakat, penyampaian perkhidmatan awam, penambahbaikan pendigitalan, dan pengurusan kedua-dua ekonomi domestik dan perdagangan antarabangsa, katanya.

Bertemakan “Memacu Produktiviti Malaysia”, laporan itu menyatakan bahawa produktiviti buruh negara 2023 bagi setiap pekerja adalah positif, menyederhana kepada 0.9 peratus berbanding dengan lonjakan 2022 sebanyak 5.4 peratus.

Tambah Tengku Zafrul, tahap produktiviti negara meningkat kepada RM96,692 setiap pekerja pada 2023 iaitu meningkat sedikit daripada RM95,858 pada 2022. – MalaysiaGazette