Polis terima lima laporan dakwaan penipuan Kim Seri

Polis terima lima laporan dakwaan penipuan Kim Seri

PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima lima laporan setakat ini berhubung dakwaan penipuan pakej percutian oleh seorang pempengaruh media sosial, Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, setakat semalam, kira-kira 10 individu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dan membuat aduan terhadap wanita berkenaan.

“Polis telah menerima lima laporan setakat malam semalam melibatkan kes berikut. 

“Bagaimanapun, kes tersebut dijadikan laporan luar kawasan kerana individu yang didakwa masih berada di Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, seramai 10 individu hadir ke IPD Dang Wangi selepas mendakwa ditipu oleh agensi pelancongan yang dikendalikan Kim Seri. 

Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan percutian ke Seoul, Korea Selatan oleh pempengaruh itu yang menawarkan pakej selama lima hari dengan harga kira-kira RM4,000.

Menyedari hal itu, Kim Seri menerusi Instagram memaklumkan dia akan mengeluarkan kenyataan rasmi di akaun laman sosialnya berhubung isu tersebut selain memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan pada 1 Februari tahun depan. – UTUSAN

Scroll to Top