rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan polis hari ini, selepas dipercayai membuat ugutan jenayah terhadap anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 12.10 tengah malam.
Beliau berkata, penahanan dibuat susulan laporan yang diterima daripada pegawai penguat kuasa DBKL pada 1.07 tengah hari semalam.
“Laporan itu mengenai tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp mengenai ancaman dan hasutan kepada penguat kuasa DBKL.
“Pengadu menyatakan tangkap layar berkenaan adalah ancaman, hasutan dan berbaur ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
© New Straits Times Press (M) Bhd