am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Polis menyiasat insiden ugutan membabitkan seorang lelaki yang dirakam mengacukan sebatang kayu kepada pemandu kenderaan dalam satu video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian dipercayai berlaku di pekan Telipok, Manggatal, kira-kira 2.28 petang semalam, susulan insiden pemanduan berbahaya.
Beliau berkata, ketika kejadian, lelaki berusia 26 tahun memandu kereta untuk pulang ke rumah sebelum kenderaan suspek memotong secara merbahaya sehingga hampir berlaku perlanggaran.
“Mangsa panik membunyikan hon, namun sebaik tiba di lorong pekan Telipok, suspek memberhentikan kenderaan di tengah lorong dan menghalang kenderaan mangsa.
“Suspek turun dari kenderaan sambil membawa sebatang kayu dan mengacukannya ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial berdurasi 36 saat, memaparkan lelaki menjerit sambil mengacukan kayu ke arah seorang lelaki, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd