Polis siasat petugas kempen berkelakuan tidak senonoh terhadap wartawan wanita

az213

Polis siasat petugas kempen berkelakuan tidak senonoh terhadap wartawan wanita

Oleh Nur Izzati Mohamad

am@hmetro.com.my

Pix: Danial Saad

Nibong Tebal: Polis akan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang sedia ada berhubung seorang petugas kempen yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita di satu majlis perjumpaan pemimpin di Sungai Kechil di sini, semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya setakat ini tidak dimaklumkan berhubung insiden berkenaan namun memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional.

“Berita itu (gangguan seksual) pertama kali saya dengar, mungkin sebab saya sibuk kempen tetapi jika laporan (polis) sudah dibuat, saya nak beri jaminan bahawa ia sepenuhnya di bawah autoriti pasukan polis.

“Gunalah peruntukan undang-undang yang ada…buatlah siasatan secara profesional ikut jalur undang-undang. Itu saya boleh sebut,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan ketika diminta mengulas berhubung insiden berkenaan, di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang wartawan wanita sebuah rangkaian televisyen tempatan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan malam tadi berhubung insiden seorang lelaki yang juga petugas kempen berkelakuan tidak senonoh.

Kejadian berlaku ketika pihak media sedang menemuramah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hadir majlis perjumpaan pemimpin di Dewan Sungai Kechil di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Chong Boo Khim mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.

Difahamkan, siasatan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (gangguan seksual) / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

© New Straits Times Press (M) Bhd