rnoraina@hmetro.com.my
Serdang: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung pertengkaran pasangan kekasih dan seorang wanita lain sebelum kenderaan yang dinaiki mereka dikejar abang sehingga berlakunya kemalangan.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, laporan dibuat seorang wanita berusia 24 tahun semalam.
“Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang Isnin, pengadu terjumpa teman lelakinya bersama seorang wanita dikenali di sebuah pasar raya di Puchong. Pertemuan itu mengakibatkan berlaku pertengkaran sebelum wanita terbabit memukul pengadu sehingga cedera di muka.
“Selepas itu berlaku pergelutan antara pengadu bersama teman lelakinya ketika cuba mendapatkan telefon bimbit wanita berkenaan daripada pengadu.
“Pergelutan itu menyebabkan telefon bimbit wanita terbabit dan pengadu jatuh, pecah serta rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lelaki itu menawarkan menghantar pengadu ke rumah bersama wanita terbabit, namun bertindak memandu menghala ke kampung menyebabkan berlaku pertengkaran antara ketiga-tiga mereka sebelum lelaki itu berpatah balik.
Anbalagan berkata, pengadu turut mendakwa dipukul oleh kedua-dua individu terbabit semasa dalam perjalanan.
“Semasa tiba di rumah pengadu di Bandar Baru Sri Petaling, abang pengadu menghampiri kenderaan mereka, namun lelaki itu memandu laju dan hampir melanggar abang pengadu.
“Abang pengadu kemudian bertindak memandu mengejar kenderaan berkenaan sehingga Lebuhraya Utara Selatan dekat Plaza Tol Gopeng dan berlaku kemalangan,” katanya.
Katanya, susulan laporan itu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan komen yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan insiden sebuah kereta mengejar kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM 308 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Kampar, berakhir dengan kemalangan tiga kenderaan.
Difahamkan, insiden kejar mengejar itu membabitkan perselisihan faham berkaitan hal keluarga di mana seorang lelaki yang memandu Honda City bertindak mengejar adiknya yang dikatakan mengikut teman lelaki menaiki pelbagai guna (MPV) jenis Proton Ertiga.
© New Straits Times Press (M) Bhd