Polis siasat insiden sekumpulan lelaki ceroboh, keluarkan 28 kereta tanpa kebenaran

Polis siasat insiden sekumpulan lelaki ceroboh, keluarkan 28 kereta tanpa kebenaran

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis menyiasat tindakan sekumpulan lelaki menceroboh dan mengeluarkan 28 kereta dari sebuah tempat letak kenderaan di Pendamar, Klang, semalam

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan polis dibuat pengarah sebuah syarikat perkapalan berhubung kejadian itu pada jam 6.24 petang semalam.

Menurutnya, lelaki warga asing berusia 44 tahun itu memaklumkan sekumpulan lelaki mengeluarkan kereta yang masih menunggu keputusan mahkamah berkenaan tuntutan daripada insuran.

“Hasil siasatan mendapati pada 2 Disember lalu, syarikat perkapalan pengadu membawa kira-kira 1,517 kereta menaiki kapal dari Pelabuhan Klang ke Kota Kinabalu, Sabah.

“Semasa dalam perjalanan, kapal berkenaan terbakar dan pihak penyelamat laut berjaya memadamkan serta menyelamat sejumlah besar muatan kapal termasuk kenderaan yang kemudian disimpan di tempat letak kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, beberapa kenderaan tidak mempunyai insuran pelayaran dan syarikat perkapalan meminta semua pemilik membayar sejumlah wang bagi menampung kos perkhidmatan pihak penyelamat laut sebelum kenderaan itu diserahkan semula kepada pemilik.

Katanya, pemilik kenderaan yang tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat perkapalan memohon bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) pengguna untuk mengeluarkan kereta berkenaan.

Jelasnya, walaupun terdapat beberapa siri perjumpaan dan perbincangan diadakan, syarikat tidak bersetuju menyerahkan kereta sehingga mendapat keputusan daripada mahkamah.

“Kira-kira jam 12 tengah hari semalam (13 Mac), sekumpulan lelaki memasuki kawasan letak kenderaan itu dan mengambil kenderaan tanpa kebenaran pihak syarikat.

“Justeru, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan akan memanggil individu terbabit untuk dirakam percakapan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top