ALOR SETAR: Polis menyiasat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beberapa individu yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kejadian tersebut yang mengundang pelbagai komen dan persepsi negatif.
“Ekoran laporan polis yang diterima, satu siasatan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar meminta kepada mana-mana individu yang dapat membantu siasatan atau mempunyai sebarang maklumat sila berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Wan Norawiha Wan Endut di talian, 017 4218685.
Sejak semalam tular di media sosial seorang individu dipercayai wakil rakyat bersama beberapa individu lain makan semeja di sini. -UTUSAN ONLINE