Polis serbu pusat panggilan sindiket penipuan, 9 ditahan

Polis serbu pusat panggilan sindiket penipuan, 9 ditahan

am@hmetro.com.my

Melaka: Serbuan polis Melaka di sebuah unit kondominium di Taman Kota Laksamana di sini, membongkar kegiatan pusat panggilan bagi sindiket penipuan pekerjaan antarabangsa.

Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu turut menahan sembilan ahli sindiket terdiri daripada enam warga tempatan serta dua lelaki dan seorang wanita warga China.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, serbuan dilakukan pada 7 Februari lalu hasil intipan pasukan yang mengesan operasi haram dijalankan di premis berkenaan.

Katanya, semua suspek berumur antara 26 hingga 43 tahun dipercayai terbabit dengan sindiket yang menyasarkan mangsa luar negara, khususnya kepulauan Caribbean.

“Modus operandi adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu menerusi Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket ini melalui WhatsApp atau Telegram.

“Mangsa kemudian diarah membuat 32 jenis tugasan menerusi laman sesawang https://amcsthatres.com yang kononnya bertujuan menaikkan jumlah maklum balas (review) terhadap hotel dan filem di negara kepulauan berkenaan.

“Apabila selesai tugasan pertama, mangsa yang berminat untuk meneruskan tugasan akan diarahkan membuat bayaran kepada ahli sindiket dan turut dijanjikan dengan komisen antara AS$70 (310.79) hingga AS$100 (RM444) bagi setiap tugasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Nazri berkata, bagaimanapun selepas membuat bayaran, mangsa tidak akan dibayar komisen seperti dijanjikan, malah sindiket dipercayai peroleh keuntungan berjumlah RM54,000 sebulan.

Katanya, serbuan itu turut merampas sebuah komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 unit telefon bimbit pelbagai jenama dianggarkan RM30,000.

“Semua suspek direman empat hari bermula 8 Februari lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top