am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Polis merampas 90 keratan karkas babi dipercayai diseludup dari negara jiran selepas memeriksa sebuah lori di Taman Industri Jaya, Skudai, di sini, Jumaat lalu.
Serbuan Op Beku dijalankan sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor pada jam 11.10 malam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, hasil pemeriksaan menjumpai 90 keratan karkas babi bersamaan 45 ekor babi.
“Kita turut merampas sebuah lori dan serangkai kunci yang mana semua rampasan dianggarkan bernilai RM375,000.
“Seorang lelaki berusia 33 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah.
“JPV mengesahkan keratan karkas babi itu bukan dari mana-mana rumah sembelihan yang diluluskan atau dilesenkan oleh jabatan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan itu kemudian diserahkan kepada JPV Johor untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Subkaedah 5(3) Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd