Polis Negeri Sembilan terus pantau keselamatan mangsa culik

Polis Negeri Sembilan terus pantau keselamatan mangsa culik

 

JEMPOL: Polis akan terus memantau keadaan keselamatan seorang remaja berusia 16 tahun yang menjadi mangsa culik membabitkan wang tebusan sebanyak RM2 juta di Seremban 2, Seremban baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, remaja perempuan itu bagaimanapun kini berada dalam keadaan baik serta sudah diserahkan kepada pihak keluarga.

“Pada hari yang diselamatkan kami telah bawa mangsa ke hospital, Alhamdulillah tidak ada kecederaan serius kecuali kesan lebam di sebelah tangan. Setelah itu, mangsa telah dihantar semula ke rumah keluarganya di Seremban.

“Sehingga kini, mangsa dalam keadaan baik dan kami juga akan terus memantau keadaan mangsa termasuklah keselamatannya.

“Daripada segi siasatan masih berjalan dan kami buat semakan daripada semua segi termasuklah sekiranya ada saki baki suspek yang masih belum ditangkap,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Jempol dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Daerah Jempol, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Dzaffir menyaksikan majlis serah terima tugas antara Superintenden Hoo Chang Hook kepada Superintenden Norhisham Mustapar yang merupakan Ketua Polis Jempol yang baharu.

Media sebelum ini melaporkan enam individu termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun direman selama 14 hari sehingga 27 April bagi membantu siasatan berhubung kes culik remaja dengan permintaan wang tebusan RM2 juta, di Seremban 10 April lalu.

Sebelum itu, pada 14 April lalu, seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes culik berkenaan telah ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

Sementara itu, Ahmad Dzaffir berkata, polis Negeri Sembilan akan meningkatkan rondaan cegah jenayah di lokasi tumpuan orang ramai di negeri ini bagi menjamin keselamatan orang awam.

Katanya, ia susulan kejadian tersebut termasuk satu kejadian tetak sehingga mendatangkan kecederaan parah di sebuah pusat beli-belah di Seremban.-UTUSAN

Scroll to Top