hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian langgar lari membabitkan seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Subang-Sungai Buloh, di sini, hari ini, diminta tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat membabitkan kejadian yang menyebabkan kematian penunggang motosikal itu pada 6.15 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa terbabas ketika menunggang motosikal berseorangan untuk pulang ke rumah di Manjalara, Kuala Lumpur dari Kota Damansara.
“Mangsa tercampak ke atas jalan dan dipercayai dilanggar beberapa kenderaan menyebabkan mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa dihantar ke Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan lanjut.
“Mereka boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd