Polis masih siasat motif dua beranak dibunuh

Polis masih siasat motif dua beranak dibunuh

am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis Pulau Pinang sedang menyiasat motif sebenar seorang lelaki bertindak menikam dua beranak sehingga maut dalam kejadian di hadapan lobi lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini, hari ini.

Ketua Polis negeri Datuk Hamzah Ahmad, berkata pihaknya telah menahan suspek berusia 32 tahun untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun katanya, suspek kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) ekoran kecederaan dialaminya.

“Suspek mengalami kecederaan selepas bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri.

“Dengan tertangkapnya suspek dan rampasan senjata yang digunakan untuk membunuh kedua-dua mangsa, kes ini sudah diselesaikan.

“Kini, pihak polis sedang menyiasat motif suspek (bertindak sedemikian) dari pelbagai sudut dengan memohon saksi awam yang melihat kejadian itu secara jelas tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, terdahulu polis menerima panggilan jam 12.54 tengah hari daripada orang awam yang melihat seorang individu membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di sebuah pangsapuri, di sini.

“Pemeriksaan di lokasi menjumpai tiga individu warga tempatan berbaring dalam keadaan berdarah di atas lantai yang mana dua daripada mereka adalah bapa berusia 62 tahun dan anak perempuannya berusia 30 tahun sudah disahkan meninggal dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan di media sosial sehingga menjejaskan siasatan pihak polis

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita dan bapanya maut ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini, tengah hari tadi.

Insiden itu dipercayai berpunca angkara mangsa wanita berusia 30 tahun menolak cinta suspek lelaki berusia 32 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top