Polis lepas 7 das tembakan, empat lelaki diburu

Polis lepas 7 das tembakan, empat lelaki diburu

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Polis melepaskan tujuh das tembakan ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang merempuh kenderaan pasukan itu di Serendah, di sini, awal semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku jam 2.41 pagi ketika pegawai polis dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor mengejar Mitsubishi Triton berwarna hitam yang mencurigakan.

“Ketika polis mahu menahan, kenderaan pacuan empat roda itu bertindak merempuh kenderaan polis sehingga boleh membahayakan nyawa anggota.

“Polis kemudian melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek, namun suspek berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek yang terbabit adalah empat lelaki warga tempatan yang mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui peralatan pecah rumah seperti parang, kuku kambing, sabit, tukul besi dan pemutar skru.

“Ketika ini polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Azraai Firdaus Rosli di talian 03-60641223 atau IPD Hulu Selangor (03-60651021) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top