Polis KL sedia bantu kes kehilangan beg berisi wang RM1 juta

Polis KL sedia bantu kes kehilangan beg berisi wang RM1 juta

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur bersedia membantu siasatan berhubung kes kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta di Ampang Point, Selangor, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya bersedia menyalurkan bantuan sekiranya diperlukan Polis Selangor.

“Pada masa sama, kita akan menyalurkan sebarang maklumat yang diterima kepada Polis Selangor bagi membantu siasatan.

“Pasukan Polis Kuala Lumpur dan Selangor sentiasa membantu siasatan pelbagai kes kerana faktor lokaliti,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Tun H. S Lee di sini.

Media hari ini melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta di Ampang Point dekat sini, semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan pada pada 3.55 petang berkaitan wang berkenaan dilaporkan hilang selepas proses kutipan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di kawasan itu.

Kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, pihaknya masih menunggu arahan lanjut Peguam Negara (AGC) yang kini sedang menyemak kertas siasatan membabitkan kes buli dan tekap seterika melibatkan seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 22 Oktober lalu.

Jelasnya, setakat ini pihaknya masih menunggu arahan lanjut AGC bagi kes tersebut.

Ditanya berkaitan keputusan siasatan yang akan dimuktamadkan esok yang dilaporkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam, Rusdi berkata, ia tiada kaitan dengan siasatan dijalankan pihak polis.

“Ia (keputusan siasatan) mungkin siasatan dalaman di pihak universiti terbabit berhubung tindakan disiplin dan undang-undang.

“Kita (polis) menjalankan siasatan yang berbeza dengan membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, sekiranya ada kes kita tuduh di mahkamah.

“Mungkin dilaporkan (semalam) adalah siasatan dalaman pihak UPNM berkaitan tindakan disiplin sama ada keluar daripada program itu atau asrama, setiap universiti ada peraturan dan sistem,” katanya.

Khaled semalam dilapor berkata, siasatan dalaman yang dikendalikan lembaga siasatan terdiri daripada pihak polis dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) akan turut membentangkan cadangan garis panduan melibatkan disiplin.

“Lembaga siasatan akan muktamadkan Jumaat ini dan membentangkan cadangan mengikut garis panduan melibatkan disiplin,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top