Polis kesan suspek tinggalkan bayi perempuan di tepi pagar rumah perlindungan

Polis kesan suspek tinggalkan bayi perempuan di tepi pagar rumah perlindungan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Polis sedang mengesan individu yang dipercayai terbabit meninggalkan bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan di dalam sebuah beg di tepi pagar sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung kes terbabit.

“Bagaimanapun, usaha mengesan suspek masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan bayi perempuan itu ditemukan oleh seorang pekerja rumah perlindungan itu yang terdengar bunyi tangisan bayi di tepi pagar pada 7.30 pagi semalam.

Menurutnya, ketika ditemukan bayi berkenaan berada di dalam beg warna hitam tanpa berpakaian dan hanya diletakkan baju di tepi bayi serta masih bertali pusat.

“Tiada kesan kecederaan lain pada tubuh badan bayi tetapi kulit bayi sudah menjadi kebiruan akibat kesejukan.

“Bayi dipercayai ditinggalkan oleh individu tidak dikenali pada 10 malam, Rabu lalu berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di rumah perlindungan itu.

“Ketika itu kelihatan sebuah kereta dan seorang individu disyaki lelaki berjalan dan meletakkan sesuatu di lokasi sebelum beredar menaiki kenderaan itu,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, dan turut dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Sampel darah bayi akan diambil untuk perbandingan DNA (asid deoksiribonukleik),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd