mhafis@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Polis mengesan individu memandu secara melulu dan berbahaya selepas ditegur menghisap rokok di sebuah stesen minyak di Damansara Damai, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan M Hussin Sollehuddin berkata, pihak polis terkesan video tular itu di media sosial jam 8 pagi tadi.
Menurutnya, video tular berkenaan memaparkan seorang individu sedang berjalan ke kenderaan yang diletakkan di kawasan stesen minyak sambil menghisap rokok lalu ditegur oleh orang awam dan bertindak melakukan provokasi dengan memandu secara membahayakan dan menghalang laluan kenderaan dipandu oleh orang awam berkenaan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
“Pihak polis menasihatkan kepada semua supaya tidak melakukan tindakan yang akan membahayakan nyawa, merosakkan harta benda atau keselamatan orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mana-mana saksi yang melihat atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil membuat laporan polis dan membantu siasatan dengan ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ditalian 03-79662222.
© New Straits Times Press (M) Bhd