Polis Jawa Tengah turun padang bantu buat keranda untuk pesakit Covid-19 – Utusan Digital

Polis Jawa Tengah turun padang bantu buat keranda untuk pesakit Covid-19 – Utusan Digital

BOYOLALI: Daerah Boyolali di Jawa Tengah berdepan dengan masalah kekurangan keranda berikutan jumlah kematian akibat Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari.

Sehubungan itu, pasukan polis Banyudono turun padang membantu pengusaha untuk menghasilkan keranda bagi kegunaan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.

Jurucakap polis Banyudono, Rewang berkata, pihaknya menerima aduan mengenai bekalan keranda yang semakin kurang di daerah ini dan keadaan itu secara tidak langsung menyukarkan proses pengebumian dan keluarga si mati perlu menunggu lama berbanding biasa.

“Kami menerima maklumat berlaku kekurangan keranda dan bagi meringankan beban pembuat keranda, kami turun padang untuk membantu mereka.

“Mungkin kedengaran pelik dan lucu bagi sesetengah pihak, namun itulah situasi yang kami alami ketika ini akibat Covid-19,” katanya.

Rewang juga memaklumkan pembuat keranda di daerah ini semakin letih kerana tidak mampu memenuhi permintaan setiap hari.

Katanya, bahan untuk membuat keranda juga semakin sukar diperoleh dan keadaan itu menambah kesukaran untuk menghasilkan keranda dalam jumlah yang banyak.

Scroll to Top