Polis Indonesia sahkan kehilangan Eyka sekadar 'content'

Polis Indonesia sahkan kehilangan Eyka sekadar 'content'

Kuala Lumpur: Polis Indonesia mengesahkan dakwaan pempengaruh warga Malaysia dikenali Eyka yang dilaporkan hilang selepas masuk ke dalam hutan di Bandung, Indonesia sebagai lakonan semata.

Memetik laporan KumparanNews, pihak berkuasa negara itu memaklumkan kebenaran mengenai kehilangan terbabit terungkai apabila ia hanya direka untuk kandungan media sosial yang dimuat naik pempengaruh Ammar Mohd Nzahan dan Aras.

“Keterangan Ammar dan Aras menjelaskan mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut RT 05, RW 09, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung pada Ahad lalu menerusi TikTok dengan cerita sensasi ‘pempengaruh Malaysia (Eyka) hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal’.

“Kandungan sensasi itu dibuat semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut.

“Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Indonesia mengenakan hukuman tegas terhadap penyebar berita palsu. Kandungan yang mereka buat juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa meskipun sudah diberi kelulusan oleh pengurus wilayah setempat,” kata Ketua Polis Panyileukan, Kompol Kurnia seperti dilaporkan media berkenaan.

Menurutnya lagi, Ammar dan Aras sudah meminta maaf kepada polis dan membuat kenyataan bertulis serta video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Pempengaruh dan penyanyi rap, Caprice menerusi Instagram miliknya, turut tampil mendakwa kejadian berkenaan dilakukan dengan sengaja dan hanya sekadar kandungan video.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, pempengaruh media sosial dikenali sebagai Eyka ditemui selamat semalam selepas dilapor hilang tiga hari ketika memasuki hutan di Bandung, Indonesia.

Gadis berusia 22 tahun itu ditemui kira-kira 10 malam tadi dan penemuannya dikongsi menerusi penstriman langsung di TikTok @Arasz sebelum ia tular.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top