Polis cari suspek kes pukul OKU

Polis cari suspek kes pukul OKU

am@hmetro.com.my

Chukai: Polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) cedera dipercayai dipukul sekumpulan individu di Pasar Tani Padang Astaka, dekat sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan, Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, kira-kira 9.30 pagi.

“Polis menerima laporan seorang lelaki berusia 47 cedera akibat dipukul, dan video kejadian itu turut tular di media sosial.

“Siasatan mendapati lelaki itu yang menunggang sebuah motosikal memasuki kawasan tapak jualan terbabit dan terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan barangan jualan tumpah dan terjatuh.

“Kejadian menyebabkan beberapa individu yang berada di tempat kejadian bertindak memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan polis juga mendapati mangsa adalah OKU kategori ketidakupayaan mental.

“Mangsa dihantar ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Polis sedang giat mengesan beberapa individu yang terbabit dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Kemaman di talian 09-8592222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top