am@hmetro.com.my
Georgetown: Remaja lelaki berusia 17 tahun maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Masjid Negeri di sini, semalam.
Dalam kejadian pada 5.15 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, terdahulu mangsa yang menunggang motosikal dari arah Batu Lancang ke Gelugor dilanggar oleh sebuah motosikal lain dari arah kiri laluan yang sama.
Menurutnya, mangsa kemudiannya terjatuh di atas jalan dan bergesel dengan sebuah kereta di bahagian kanan sebelum dilanggar dengan lori di sebelah kiri.
“Mangsa yang juga seorang pelajar itu parah dan dihantar ke HPP, namun meninggal dunia di hospital berkenaan pada jam 6.09 petang.
“Pemandu lori dan kereta yang terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Rozak berkata, polis sudah mengenal pasti identiti penunggang motosikal yang dipercayai menjadi penyebab kemalangan itu.
“Penunggang motosikal terbabit akan ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi yang melihat kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Terdahulu, video kejadian menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 41 saat itu turut tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd