am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis sedang mengenal pasti dua lelaki, dipercayai bergaduh di tengah jalan dekat Tambak Johor di sini, semalam, yang tular di media sosial negara ini dan Singapura.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesan video tular itu semalam, dan memulakan siasatan.
“Kita giat mengenal pasti individu terbabit kejadian, saksi dan menyiasat punca sebenar,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Raub berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat Inspektor Ng Boon Jian di talian 016-7500470.
Dalam video tular itu memaparkan pergaduhan antara dua lelaki di Tambak Johor yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai Toyota Vellfire.
Pemandu MPV kelihatan keluar kenderaan dalam keadaan marah, sebelum penumpang sebuah lagi MPV keluar dan mereka saling bergaduh mulut.
Keadaan menjadi hangat apabila mereka bertumbuk dan kedengaran pemandu MPV mendakwa penumpang kenderaan satu lagi itu memulakan pergaduhan itu terlebih dahulu dengan berkata ‘dia hentam aku dulu’.
Pergaduhan itu berjaya dileraikan beberapa pengguna jalan raya yang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd