IPOH: Polis sedang mengesan seorang suspek yang disyaki mencuri wang tabung di sebuah surau di Kampung Tawas dekat sini yang video kejadian itu tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan mendapati, laporan mengenai kejadian itu telah dibuat oleh setiausaha surau pada pukul 3.03 petang, 21 Januari lalu.
Katanya, berdasarkan semakan dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV), didapati seorang lelaki telah memotong mangga pada tabung sebelum mengambil semua wang di dalamnya.
āSuspek memotong mangga tabung tersebut menggunakan mesin pemotong besi elektrik dan mengambil wang tabung yang dianggarkan berjumlah RM150.
āMenurut pengadu, kali terakhir wang tabung hasil daripada derma itu dikutip adalah pada 18 Januari lalu dan tiada saksi melihat kejadian itu,ā katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 1 minit 31 saat dan 1 minit 22 saat yang memaparkan seorang lelaki memakai baju berwarna hitam dan pelitup muka hitam memasuki ruang dalam surau dan memotong kunci mangga tabung menggunakan mesin pemotong besi.
Suspek kemudian dilihat memasukkan wang tabung di dalam beg berwarna hitam sebelum beredar keluar dari surau.
Menurut Abang Zainal, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
āOrang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nor Shila Mohd. Sidek di talian 011-11454886,ā katanya. ā UTUSAN