Miri: Polis Miri sedang giat memburu seorang lelaki yang melakukan samun bersenjata di sebuah pasar mini berhampiran Ngu Garden Food Park, Batu Niah pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata satu laporan polis mengenai kejadian itu dibuat pada hari yang sama.
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata dalam kejadian itu seorang juruwang wanita yang sedang menjaga kaunter didatangi suspek yang bersenjatakan parang.
Suspek kemudian melarikan diri selepas merompak RM1,000 daripada mangsa.
“Suspek telah dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 31 tahun dan polis kini sedang mengesannya,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Kejadian telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) pasar mini tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi polis Miri di talian 085-433730.
© New Straits Times Press (M) Bhd