am@mhmetro.com.my
Tapah: Polis melancarkan Op Tutup bagi memburu dua suspek yang cuba melanggar kenderaan dan anggota polis di hadapan sebuah restoran makanan segera di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kajang, Selangor mengejar sebuah Perodua Myvi dari Kajang sehingga ke R&R Tapah.
“Kenderaan berwarna kelabu terbabit dinaiki oleh seorang suspek lelaki dan wanita warga tempatan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki suspek cuba melanggar kenderaan dan anggota polis yang cuba menahannya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mohd Naim berkata, polis turut melepaskan empat das tembakan ke arah kenderaan suspek dalam usaha mempertahankan diri.
“Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri dengan memandu kereta secara lawan arus menghala ke Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan.
“Sebaik tiba di Kilometer 332.5, suspek memberhentikan dan meninggalkan kereta dan melarikan diri ke dalam hutan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, seramai 10 anggota IPD Kajang cuba menahan suspek kerana disyaki terbabit kes pecah rumah di kawasan Kajang.
“Pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan dan IPD Tapah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan suspek terbabit.
“Hasil semakan mendapati kereta terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita warga tempatan manakala lelaki terbabit mempunyai 15 rekod jenayah lampau,” katanya.
Mohd Naim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan bunuh.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil di balai polis berdekatan atau hubungi IPD Tapah menerusi talian 05-4011 222.
© New Straits Times Press (M) Bhd