PETALING JAYA : Polis sedang memburu beberapa individu yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah kafe di Pusat Komersil Anggun City, Bandar Country Homes, Rawang dekat sini semalam.
Susulan kejadian berkenaan telah tular satu video berdurasi 2 minit 38 saat di laman sosial memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan dua lelaki di hadapan premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, usaha sedang dijalankan untuk mengesan mangsa, suspek dan saksi bagi membantu siasatan kes ini.
Kata beliau, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan gaduh-gempar memperuntukkan hukuman penjara tempoh boleh sampai sebulan atau denda.
Selain itu, kata beliau, siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 iaitu kelakuan aib memperuntukkan hukuman denda.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Azrul Amirul Mustafa di talian nombor 03-61262222 dan 011-12300778,” jelasnya.- UTUSAN