Polis buru 2 lelaki ragut rantai leher di Kampung Pandan

Polis buru 2 lelaki ragut rantai leher di Kampung Pandan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis mengesan dua lelaki disyaki meragut rantai emas milik seorang wanita di hadapan kuil di Kampung Pandan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa berusia 60 tahun mengalami trauma, manakala saudara lelakinya yang cuba membantu cedera di tangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial hari ini.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang menuju ke kereta apabila secara tiba-tiba dihampiri sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki lalu meragut rantai leher dipakai mangsa.

“Beberapa orang lelaki yang berada di lokasi cuba membantu menangkap kedua-dua lelaki itu, namun tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap anak saudara mangsa memaklumkan wanita itu masih trauma dan belum dapat tampil membuat laporan polis.

Menurut Syahrul Anuar, lelaki terbabit mendakwa ibu saudaranya itu tidak cedera namun bapanya mengalami kecederaan di tangan semasa cuba membantu menangkap suspek.

Katanya, polis sudah mendapatkan rakaman CCTV di lokasi kejadian dan sedang giat mengesan suspek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top